Sabtu, 3 Disember 2011

Petikan berita

Berita Banjir
RANTAU PANJANG, 6 Jan — Beberapa daerah di Kelantan mulai dinaiki air berikutan hujan yang berterusan sejak kelmarin.
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Roslee Mamat berkata paras air di beberapa sungai utama mula menunjukkan peningkatan terutama Sungai Golok di sini yang kini berada pada paras 9.3m melebihi paras bahaya 9m.  “Keadaan cuaca di seluruh negeri terutama di daerah pedalaman dilaporkan hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah mulai dinaiki air, paras sungai juga dijangka akan terus meningkat.  “Antara daerah terlibat sehingga kini adalah Rantau Panjang dan Pasir Puteh. Kita meminta penduduk terlibat sama ada di tebing sungai atau di kawasan rendah yang terdedah kepada banjir kilat agar mengambil langkah awal dengan  bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan,”  katanya kepada Bernama di sini hari ini.
      Beliau berkata sehingga kini keadaan dilaporkan terkawal dengan beberapa penduduk di tebing Sungai Golok mulai berpindah ke rumah saudara mara ekoran kawasan rumah yang mulai ditenggelami air.
“Sehingga kini belum ada mana-mana pusat pemindahan dibuka bagaimanapun difahamkan ada beberapa keluarga telah mulai berpindah ke rumah saudara mara terdekat,” katanya.  Roslee turut meminta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) agar memantau keadaan di kampung masing-masing dan penduduk sekitar yang memerlukan bantuan terutama membabitkan pemindahan segera.
Kelantan dilanda banjir gelombang pertama awal November tahun lalu yang menyebabkan 289 penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas dipindahkan.
Gelombang kedua menyusul pada 1 Januari tahun ini yang menyebabkan 494 mangsa dipindahkan melibatkan daerah Tumpat dan Pasir Mas. Sehingga kini tiada korban mangsa banjir dilaporkan. — Bernama

A) Jawab soalan di bawah.
1. Di manakah banjir itu berlaku?
2. Siapakah Encik Rosli Mamat?
3. Bagaimana banjir tersebut berlaku?
4. Apakah tindakan yang diambil oleh penduduk setempat ketika kediaman mereka dilanda banjir?
5. Berapa bilangan mangsa banjir yang dilaporkan pada gelombang pertama dan gelombang ke dua?

B) Senaraikan nilai murni yang terdapat dalam petikan.
a)   _______________________________
b)   _______________________________
c)   _______________________________

C) Nyatakan kata kerja yang terdapat dalam petikan.

     a)  _______________________________
     b)  _______________________________
     c)  _______________________________
     d)  _______________________________ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan