Ahad, 18 Disember 2011

berita banjir 5

Persiapan banjir di Kedah paling memuaskan: Rais

JITRA – 6 Disember 2011. – Lebih 1,000 anggota diwujudkan bagi setiap Jawatankuasa Komuniti 1Malaysia di seluruh negara yang akan bertindak sebagai sukarelawan membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika bencana banjir.

Menteri Penerangan, Komu­nikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, persiapan menghadapi banjir yang dilaksanakan petugas di Kedah didapati paling memuaskan berbanding negeri lain.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, televisyen dan radio diarah membuat hebahan banjir berkala dari masa ke masa bermula minggu depan.
“Sebelum ini, hebahan dibuat lebih kerap melalui radio kerana golo­ngan sasaran suri rumah lebih peka dan mengambil tahu perkembangan keadaan banjir untuk disampaikan kepada ahli keluarga mereka,” katanya kepada media selepas melawat dan mendengar taklimat persediaan banjir di Pangkalan Hadapan Penempatan Banjir, Mukim Wang Tepus, di sini, semalam.
Beliau berkata, walaupun setakat ini tidak ada berita banjir yang serius di Kedah, namun langkah berwaspada perlu diambil daripada awal.
Setiausaha MKN Kedah, Abu Bakar Sudin dalam taklimatnya, berkata, 456 pusat pemindahan banjir yang boleh memuatkan 80,000 mangsa bakal dibuka sekiranya berlaku banjir.
“Kita menyediakan 42 kedai untuk menyalurkan bantuan makanan yang berada di setiap daerah, 66 tempat pendaratan helikopter, 70 bot, 60 lori, 80 kenderaan pacuan empat roda serta 400 kenderaan lain untuk menghadapi bencana.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mewujudkan Pangkalan Hadapan untuk melancarkan proses menyalurkan bantuan dengan tiga di Kubang Pasu serta satu di Padang Terap,” katanya.
Menurutnya, 25 stesen pemantauan banjir dengan 16 stesen oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sembilan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan sentiasa memantau paras air di seluruh negeri ini.

berita banjir 4

Lebih 15,000 mangsa banjir dipindahkan di Kedah

ALOR SETAR 2 November 2010: Seramai 15,509 penduduk daripada 4,292 keluarga di beberapa daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir akibat dilanda banjir teruk sejak semalam.

Daripada jumlah itu 10,834 penduduk daripada 3,108 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, manakala 3,478 mangsa daripada 927 keluarga adalah dari Padang Terap, 709 penduduk daripada 154 keluarga di Kota Setar dan 488 penduduk daripada 103 keluarga di Pokok Sena.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara, Ridwan Yahya, berkata sebanyak 79 pusat penempatan mangsa banjir telah dibuka di keempat-empat daerah dan daripada jumlah itu, 31 di Kubang Pasu, 33 di Padang Terap, tujuh di Pokok Sena serta lapan di Kota Setar.
Sementara itu, beliau berkata empat pusat di Padang Terap telah ditutup dan 166 penduduk daripada 42 keluarga telah pulang ke rumah masing-masing.

Antara kampung yang terbabit banjir di Kubang Pasu ialah, kampung Changkat Setoi, Paya Lantau, Malau, pekan Changlun, Jitra dan Kodiang, manakala bacaan paras air sungai Bata melepasi paras bahaya iaitu 10.22 meter (paras bahaya 9.14 meter).

Di Padang Terap antara kawasan yang terbabit ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air Sungai Kuala Nerang telah melepasi paras bahaya iaitu 20.94 meter berbanding paras bahaya 17.07 meter manakala tiga lagi sungai iaitu Sungai Padang Sanai di paras 33.45 meter (paras bahaya 36 meter), Sungai Kubu di paras 15.50 meter (paras bahaya 13.02 meter) dan Sungai Naka di paras 31.97 meter (paras bahaya 33 meter).
Di daerah paling teruk dilanda banjir iaitu Kubang Pasu, air semakin naik walaupun hujan telah berhenti kerana aliran air dari daerah Padang Terap.

Sementara itu senarai jalan yang ditutup adalah seperti berikut:

Daerah Kubang Pasu (Jalan Pauh–Changlun; Jalan Bukit Wang–Malau; Jalan Jitra–Kelubi; Jalan Jitra–Kodiang; Jalan Kampung Betung–Kampung Kanyau; Jalan Kampung Darat–Kampung Belihal; Jalan Jitra–Bukit Wang; Batu 4 Jalan Changlun–Kodiang; KM28 Lebuhraya Utara Selatan (dekat Jitra); KM10.2 Lebuhraya Utara Selatan (dekat Changlun); Jalan Ulu Pauh–Changlun; dan Jalan Tanah Merah–Wang Tepuh.

Daerah Padang Terap (Jalan Kuala Nerang–Padang Sanai; Simpang Jelutung; Jalan Semilang; Jalan Kampung Rambutan–Kuala Kajai; Jalan Kilang Gula Padang Terap–Kampung Pokka; Jalan Kampung Banggol–Padang Sanai; Jalan Kampung Padang Cenderai–Kampung Baru Ladang; Jalan Kampung Tanjung Kiri–Kampung Tanjung Kanan; Jalan Kampung Tualak; dan Jalan Kampung Kubu. - BERNAMA

Berita banjir 3

·                               BANDAR KAJANG DITENGGELAMI AIR SETINGGI 0.3 METER
HULU LANGAT 2 Dis. 2011 – Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di sekitar daerah ini sejak pukul 2 petang mengakibatkan banjir kilat melanda pusat bandar Kajang dan beberapa kawasan di sekitar daerah ini, petang ini.
Selain pusat bandar Kajang yang dilanda banjir kilat apabila paras air naik setinggi 0.3 meter, banyak kenderaan terperangkap dan ditenggelami air sejak banjir melanda kira-kira pukul 3 petang.
Beberapa premis perniagaan antaranya Plaza Metro Kajang dan Bank Hong Leong cawangan Kajang, turut dinaiki air setinggi 0.2, manakala kawasan lain yang terlibat adalah pekan Semenyih berhampiran jalan ke Bangi Lama, pasar Besar Kajang dan Jalan Jelok.Selain itu, Sungai Kantan dan Jalan Semenyih, Kajang berhampiran Klinik Kajang dan Jalan Kelapa.
Di Sungai Kantan, banjir turut melanda beberapa kawasan perumahan di situ sehingga menyebabkan seramai sembilan penduduk termasuk tiga warga emas terpaksa dipindahkan setelah terperangkap di rumah masing-masing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian banjir itu kira-kira pukul 3.51 petang.
Beberapa klip video sekitar banjir itu turut berlegar dan dikongsi oleh pengguna laman sosial Youtube dan Facebook, termasuk video yang menunjukkan seorang wanita yang terperangkap diselamat oleh orang ramai.
Berikut merupakan gambar kejadian banjir di sekitar Kajang 2 Disember 2011
   
A)  Jawab soalan berikut berpandukan petikan.

1.   Di manakah banjir kilat itu berlaku?
2.   Berapa kenaikan paras air disebabkan oleh banjir kilat tersebut?
3.   Apakah kesan kepada manusia dan harta benda disebabkan oleh bencana alam ini?
4.   Kenapa banjir kilat ini berlaku?
5.   Nyatakan kawasan-kawasan yang dilanda banjir kilat yang terdapat dalam petikan.

B)  Beri perkataan seerti(sinonim) bagi perkataan yang bercetak hitam dalam petikan.

C)  Nyatakan Kata Nama Khas yang terdapat dalam petikan

Berita banjir 2

Berita - banjir 2

Baca petikan berita di bawah kemudian jawab soalan yang diberi.

KUALA TERENGGANU 23 Nov. 2011 — Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Terengganu meningkat pagi ini. Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, sehingga pukul 9 pagi ini jumlah mangsa yang dipindahkan adalah 1,439 orang berbanding 373 orang semalam.
Katanya, daerah Setiu agak teruk apabila seramai 671 orang dipindahkan ke pusat pemindahan, diikuti Besut 560 orang dan Hulu Terenggaanu 208 orang. Jurucakap itu berkata, dalam tempoh yang sama juga 21 pusat pemindahan telah dibuka iaitu tujuh di Setiu, sembilan di Besut dan lima di Hulu Terengganu yang melibatkan balai raya, dewan serbaguna, masjid dan sekolah.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan, paras air di beberapa sungai utama di Terengganu melebihi paras bahaya pagi ini.
Di Besut, paras air di Kampung La mencecah 19.54 meter berbanding paras bahaya 19.20 meter dan di Jambatan Jertih pula bacaannya ialah 8.73 meter, melebihi paras amaran 8.10 meter.
Sungai Nerus di Kampung Bukit di sini mencatat bacaan 13.56 meter (bahaya 12 meter) dan di Kampung Langkap, Setiu 21.95 meter (bahaya 21.50 meter).
Keadaan cuaca di sini pagi ini mendung dan sesekali berlaku hujan serta angin kencang.
Diharapkan tiada kemalangan jiwa seperti lemas berlaku di musim banjir ini dan semoga pelajar-pelajar yang sedang mengambil SPM tidak terjejas fokus mereka untuk menjawab baki kertas peperiksaan yang tinggal..

A)  Jawab soalan di bawah

1. Di negeri manakah banjir berlaku?
2. Bila peristiwa banjir ini berlaku?
3. Berapa bilangan mangsa banjir yang di pindahkan ke pusat pemindahan?
4 Nyatakan beberapa daerah yang terlibat dengan masalah banjir dalam petikan di atas.
5. Apakah tugas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)?

B)  Beri makna bagi perkataan yang dicetak tebal pada petikan.

C)  Senaraikan Kata Nama Khas yang terdapat dalam petikan.

Sabtu, 3 Disember 2011

Petikan berita

Berita Banjir
RANTAU PANJANG, 6 Jan — Beberapa daerah di Kelantan mulai dinaiki air berikutan hujan yang berterusan sejak kelmarin.
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Roslee Mamat berkata paras air di beberapa sungai utama mula menunjukkan peningkatan terutama Sungai Golok di sini yang kini berada pada paras 9.3m melebihi paras bahaya 9m.  “Keadaan cuaca di seluruh negeri terutama di daerah pedalaman dilaporkan hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah mulai dinaiki air, paras sungai juga dijangka akan terus meningkat.  “Antara daerah terlibat sehingga kini adalah Rantau Panjang dan Pasir Puteh. Kita meminta penduduk terlibat sama ada di tebing sungai atau di kawasan rendah yang terdedah kepada banjir kilat agar mengambil langkah awal dengan  bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan,”  katanya kepada Bernama di sini hari ini.
      Beliau berkata sehingga kini keadaan dilaporkan terkawal dengan beberapa penduduk di tebing Sungai Golok mulai berpindah ke rumah saudara mara ekoran kawasan rumah yang mulai ditenggelami air.
“Sehingga kini belum ada mana-mana pusat pemindahan dibuka bagaimanapun difahamkan ada beberapa keluarga telah mulai berpindah ke rumah saudara mara terdekat,” katanya.  Roslee turut meminta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) agar memantau keadaan di kampung masing-masing dan penduduk sekitar yang memerlukan bantuan terutama membabitkan pemindahan segera.
Kelantan dilanda banjir gelombang pertama awal November tahun lalu yang menyebabkan 289 penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas dipindahkan.
Gelombang kedua menyusul pada 1 Januari tahun ini yang menyebabkan 494 mangsa dipindahkan melibatkan daerah Tumpat dan Pasir Mas. Sehingga kini tiada korban mangsa banjir dilaporkan. — Bernama

A) Jawab soalan di bawah.
1. Di manakah banjir itu berlaku?
2. Siapakah Encik Rosli Mamat?
3. Bagaimana banjir tersebut berlaku?
4. Apakah tindakan yang diambil oleh penduduk setempat ketika kediaman mereka dilanda banjir?
5. Berapa bilangan mangsa banjir yang dilaporkan pada gelombang pertama dan gelombang ke dua?

B) Senaraikan nilai murni yang terdapat dalam petikan.
a)   _______________________________
b)   _______________________________
c)   _______________________________

C) Nyatakan kata kerja yang terdapat dalam petikan.

     a)  _______________________________
     b)  _______________________________
     c)  _______________________________
     d)  _______________________________