Ahad, 18 Disember 2011

berita banjir 5

Persiapan banjir di Kedah paling memuaskan: Rais

JITRA – 6 Disember 2011. – Lebih 1,000 anggota diwujudkan bagi setiap Jawatankuasa Komuniti 1Malaysia di seluruh negara yang akan bertindak sebagai sukarelawan membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika bencana banjir.

Menteri Penerangan, Komu­nikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, persiapan menghadapi banjir yang dilaksanakan petugas di Kedah didapati paling memuaskan berbanding negeri lain.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, televisyen dan radio diarah membuat hebahan banjir berkala dari masa ke masa bermula minggu depan.
“Sebelum ini, hebahan dibuat lebih kerap melalui radio kerana golo­ngan sasaran suri rumah lebih peka dan mengambil tahu perkembangan keadaan banjir untuk disampaikan kepada ahli keluarga mereka,” katanya kepada media selepas melawat dan mendengar taklimat persediaan banjir di Pangkalan Hadapan Penempatan Banjir, Mukim Wang Tepus, di sini, semalam.
Beliau berkata, walaupun setakat ini tidak ada berita banjir yang serius di Kedah, namun langkah berwaspada perlu diambil daripada awal.
Setiausaha MKN Kedah, Abu Bakar Sudin dalam taklimatnya, berkata, 456 pusat pemindahan banjir yang boleh memuatkan 80,000 mangsa bakal dibuka sekiranya berlaku banjir.
“Kita menyediakan 42 kedai untuk menyalurkan bantuan makanan yang berada di setiap daerah, 66 tempat pendaratan helikopter, 70 bot, 60 lori, 80 kenderaan pacuan empat roda serta 400 kenderaan lain untuk menghadapi bencana.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mewujudkan Pangkalan Hadapan untuk melancarkan proses menyalurkan bantuan dengan tiga di Kubang Pasu serta satu di Padang Terap,” katanya.
Menurutnya, 25 stesen pemantauan banjir dengan 16 stesen oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sembilan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan sentiasa memantau paras air di seluruh negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan